Warga Nigeria dalang Love Scam, Parcel Scam tumpas
A
A
KUALA LUMPUR - Satu sindiket penipuan Love Scam dan Parcel Scam yang didalangi warga Nigeria tumpas dalam serbuan berasingan di sekitar Kajang, Selangor pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sepasukan pegawai dan anggota JSJK memberkas enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu.
Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barang yang disyaki digunakan dalam sindiket itu termasuk lapan komputer riba, 17 telefon bimbit, dua modem wifi serta dua kad mesin juruwang automatik (ATM).
"Siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak lima tahun lalu itu menipu warga tempatan dan luar negara selain mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes," katanya dalam kenyataan pada Ahad.