Varian Delta bakal maharajalela A PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa varian Delta yang cepat merebak dan berbahaya dijangka menjadi strain dominan Covid-19 dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Varian Delta yang pertama kali dikesan di India, sekarang ini sudah ‘menjajah’ 124 wilayah dan negara. Minggu lalu, varian tersebut dilaporkan di 13 negara baharu. Jelas WHO, varian Delta sudah merangkumi lebih tiga perempat spesimen penjujukan di kebanyakan negara dan akan bersaing pantas dengan varian lain. Ketika ini, terdapat tiga lagi varian koronavirus dalam kategori varian membimbangkan (VOC) iaitu Alpha yang pertama kali dikesan di Britain dan sudah berada di 180 wilayah (tambah enam direkodkan minggu lalu), Beta kali pertama dikesan di Afrika Selatan sekarang menular di 130 wilayah dan Gamma yang pertama dikesan di Brazil kini berada di 78 wilayah (tambah tiga).