Vaksin: Utamakan sektor perdagangan, pengedaran dan peruncitan A A PUTRAJAYA - Keutamaan imunisasi Covid-19 perlu diberikan kepada pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan kerana kepentingannya sebagai enjin ekonomi negara serta risiko yang dihadapi tenaga kerjanya yang sentiasa berinteraksi dan menyiapkan logistik untuk pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Menurut beliau, risiko jangkitan yang dihadapi tenaga kerja sektor berkenaan pada setiap hari adalah sangat serius dan boleh membantutkan usaha kerajaan untuk mencapai tahap imuniti kelompok yang dikehendaki bagi memacu kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Beliau berkata, oleh itu, sektor-sektor berkenaan harus diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagaimana sektor lain seperti perkilangan dan pembinaan.