TIRAI Sukan Paralimpik 2020 dibuka secara rasmi pada Selasa, 24 Ogos 2021 – 15 hari selepas berakhirnya Sukan Olimpik Tokyo 2020. Pada temasya Paralimpik kali ini, kontinjen Malaysia dengan diketuai Chef de Mission (CDM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyandarkan harapan kepada 22 atlet 'luar biasa’ yang bakal bertanding dalam sembilan jenis sukan – olahraga, powerlifting, memanah, badminton, lumba basikal, renang, boccia, ping pong dan tenis kerusi roda. Selepas kejayaan gemilang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa pada edisi Rio 2016 – pencapaian terbaik kontinjen Malaysia dalam temasya Paralimpik sejak kali pertama mengambil bahagian pada edisi Heidelberg 1972, sasaran di bumi Tokyo kali ini adalah membawa pulang tiga emas.