Syaqiera pamer panahan bergaya, perbaiki catatan peribadi
A
A
KUALA LUMPUR - Pemanah negara Syaqiera Mashayikh memulakan saingan hari pertama acara memanah di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan bergaya selepas mencatat rekod peribadi terbaik pada pusingan penentuan ranking acara recurve individu wanita, hari ini.
Pada aksi berlangsung di Lapangan Memanah Yumenoshima Park di Tokyo, Syaqiera, 20, menamatkan saingan di tempat ke-43 daripada keseluruhan 64 peserta dengan berjaya memperoleh 630 mata sekali gus memperbaiki rekod 619 mata dilakukan pada kelayakan terakhir Olimpik di Paris Jun lepas.
Syaqiera dijadual berdepan pemanah Rusia Elena Osipova pada pusingan pertama Selasa depan.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu merupakan pemanah wanita ketiga negara layak ke Olimpik selepas Mon Redee Sut Txi (Athens 2004) dan Nurul Syafiqah Hashim (London 2012).
Tokyo 2020 tenang menelusuri pandemik Covid-19
A
A
TEMASYA Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula secara tidak rasmi hari ini, dua hari sebelum perasmiannya pada Jumaat ini selepas berhadapan ketidaktentuan dan banyak cabaran di tengah-tengah pandemik Covid-19 global.
Pertandingan bermula dengan acara sofbal wanita di Stadium Fukushima Azuma, wilayah yang teruk dilanda malapetaka nuklear selepas gempa bumi pada 2011.
Selaku tuan rumah dan juara bertahan, Jepun memenangi perlawanan pembukaan dengan selesa, menewaskan Australia 8-1, sementara Amerika Syarikat (AS) menundukkan Itali 2-0 dan Kanada mengalahkan Mexico 4-0.
Kali terakhir sofbal dipertandingkan di Olimpik ialah pada edisi Beijing 2008, dengan Jepun membawa pulang pingat emas sementara AS dan Australia masing-masing memperoleh perak dan gangsa.