Mingguan Wanita
July 1, 2021
Pelakon Siti Elizad Mohamad Sarifuddin terharu apabila dirinya menerima panggilan telefon daripada Raja Permaisuri Agong. Sebelum ini, Siti Elizad pernah berkongsi kesedihan dan perasaan hiba apabila diperkatakan sebagai mandul oleh seorang netizen.
Diam tak diam, perkongsian Siti Elizad dibaca oleh Raja Permaisuri Agong, KDYMM Tuanku Permaisuri Azizah. Dan Tuanku Permaisuri mencemar duli menghubungi Siti Elizad untuk memberi kata-kata semangat.
Ini kerana, Tuanku Permaisuri sendiri pernah alami menempuh perjalanan IVF sebanyak 17 kali untuk mendapatkan zuriat. Malah, baginda satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat cahaya mata hasil rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF)
Raja Permaisuri Agong juga merupakan penaung Yayasan Fertiliti Tuanku Azizah (TAFF). Baginda menubuhkan yayasan ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan zuriat.