Sindiket pemalsuan Rockers Myanmar tumpas
June 29, 2021
PADA 25 Jun 2021, jam 7:32 petang, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas telah berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen Imigresen dalam satu ‘Operasi Khas’ yang dilancarkan di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur. Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warganegara Myanmar berusia 38 tahun yang juga dikenali sebagai ‘Rockers’ disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen berjaya ditangkap. Kejayaan tersebut adalah hasil daripada maklumat risikan selama empat bulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Jabatan Imigresen Malaysia.
Tindakan pantas telah diambil oleh pegawai operasi dengan menahan subjek ketika sedang menunggu pelanggan di dalam kereta di belakang sebuah bangunan di kawasan Kota Raya. Dengan penangkapan ini, subjek telah membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium mewah di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai markas untuk mencetak dan mengeluarkan pelbagai dokumen palsu.