IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina negara sejurus mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu. Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, negara kini sudah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dengan impak Covid-19 dan krisis politik yang berpanjangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Beliau berkata, kesan masalah-masalah tersebut telah mengakibatkan kemusnahan dalam sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan kesejahteraan sosial di Malaysia.