PASIR MAS - Bunyi letupan kecil berjaya menyelamatkan tiga sekeluarga daripada rentung apabila rumah sewa mereka di Kampung Jias, di sini terbakar pada Ahad. Kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu disedari oleh Nor Aliya Maisarah Abdul Talib, 18, selepas mendengar bunyi letupan kecil tersebut. Nor Aliya Maisarah berkata, sebaik sahaja mendengar bunyi itu, dia bergegas keluar dari biliknya untuk melakukan pemeriksaan dan terkejut mendapati api yang berpunca dari rumah kosong di sebelah rumahnya mula merebak.