Bangunan dalam pembinaan runtuh di Washington
A
A
WASHINGTON - Seorang pekerja binaan diselamatkan selepas terperangkap kira-kira sejam setengah di bawah runtuhan di sebuah tapak pembinaan di Washington DC, kata pihak berkuasa tempatan pada Khamis.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Kebakaran dan Perubatan Kecemasan DC menerusi Twitter, sebuah bangunan sedang dalam pembinaan di Kennedy Street runtuh kira-kira 3.30 petang mengakibatkan seorang terperangkap dan beberapa yang lain cedera, lapor agensi berita Xinhua.
Jabatan itu dalam kemas kininya di Twitter menyatakan empat mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dan seorang lelaki yang terperangkap berjaya diselamatkan serta berada dalam keadaan sedar.
Kejadian itu berlaku seminggu selepas sebahagian kondominium 12 tingkat di Surfside, Florida runtuh pada Khamis. Sekurang-kurangnya 18 orang disahkan maut dalam tragedi itu dan 145 lagi masih hilang.